Kanser, Punca, Tanda Awal & Pencegahan

Kerap kita mendengar tentang kanser payudara, kanser rahim, kanser prostat, kanser paru-paru dan sebagainya. Lebih memeritkan apabila ia disedari apabila penyakit sudah berada pada tahap kritikal. Tiada kekuatan diri, lemah longlai dan berputus asa untuk terus hidup. Usah putus harapan terlalu awal. Sebenarnya masih ada sinar untuk anda teruskan kehidupan seperti biasa.

Kanser ialah sejenis penyakit yang menyebabkan pertumbuhan sel secara tidak normal dan tidak terkawal. Ia berpotensi untuk merosakkan organ yang terlibat dan merebak ke organ lain.

Kanser menyerang sesiapa sahaja tidak mengira umur dan jantina. Walau bagaimanapun, kajian telah menunjukkan -kecenderungan beberapa jenis janser berlaku mengikut peringkat umur, jantina dan bangsa. Contohnya :

  • Kanak-kanak (0-14 tahun) – Leukemia
  • Lelaki (15-49 tahun) – Kanser tekak dan pangkal hidung, kanser usus, paru-paru, otak dan leukemia
  • Wanita dewasa – Kanser payudara(paling tinggi), kanser pangkal rahim, tiroid, ovari dan usus

 

Punca utama dan mereka yang berisiko menghidap kanser 

Dianggarkan 90-95% kes cancer adalah berkait rapat dengan faktor persekitaran. 5-10% adalah faktor genetik atau keturunan.

Antara faktor persekitaran adalah :

  • Tembakau – Ia mengandungi lebih daripada 50 jenis bahan karsinogen (penyebab kanser). Banyak kajian telah membuktikan kanser paru-paru sangat berkait rapat dengan tabiat merokok. Banyak kajian telah membuktikan kanser paru-paru sangat berkait rapat dengan tabiat merokok. Dianggarkan 90% daripada pesakit kanser paru-paru terdiri dari perokok tegar. Tembakau juga boleh menyebabkan kanser tekak, leher, perut, pundi kencing, buah pinggang, saluran esofagus dan pankreas.
  • Alkohol – Di Eropah Barat, 10% dari kanser di kalangan orang lelaki dan 3% di kalangan wanita dikaitkan dengan pengambilan alkohol, terutama kanser hati dan usus.
  • Pekerjaan – Kanser yang berkaitan dengan bahan kimia di tempat kerja dianggarkan berlaku dalam 2 hingga 20% kes. Jenis-jeni bahan kimia ini boleh menyebabkan kanser seperti benzene yang menyebabkan leukimia dan limfoma, asbestos (kanser paru-paru dan usus), cadmium (kanser prostat), nikel(kanser pangkal hidung dan paru-paru) dan arsenik (kulit dan paru-paru).
  • Diet dan aktiviti fizikal – Dianggarkan 30-35% kematian yang disebabkan kanser berkait rapat dengan faktor ini. Sebahagian jenis makanan dikaitkan dengan jenis kanser tertentu. Contohnya kandungan garam yang terlalu tinggi dikaitkan dengan kejadian kanser perut, tabiat makan sirih berkait terus dengan kanser mulut.
  • Penyakit berjangkit – Di seluruh dunia, hampir 18% kematian berkaitan kanser adalah disebabkan penyakit berjangkit. Sebahagian besarnya berlaku di negara-negara Afrika(40%) dan yang lain-lain di negara membangun(10%)
  • Radiasi – Lebih kurang 10% daripada jenis-jenis kanser dikaitkan dengan pendedahan terhadap radiasi, samada radiasi berion (X-Ray dan gas Radon) atau tanpa ion (Cahaya matahari / ultraviolet).
  • Faktor keturunan – Dianggarkan kurang dari 0.3% dari populasi adalah pembawa gen ini. Contoh gen kanser ini ialah BRCA1 dan BRCA2 yang dikaitkan dengan lebih 75% kes kanser payudara dan kanser ovari.Gen Hereditary Nonpolyposis Colorectal Cancer (HNPCC) pula dikaitkan dengan kanser usus.
  • Hormon – Hormon yang tidak seimbang atau berlebihan boleh memainkan peranan dalam pembentukan kanser seperti hormon estrogen (kanser payudara dan rahim) dan hormon testosteron (kanser prostat)

 

Tanda awal kanser

Di peringkat awal, kebiasaannya ia tidak mempunyai sebarang tanda dan simptom. Namun, ia mula disedari apabila ada ketumbuhan yang semkain membesar menyebabkan kesakitan dan kegagalan fungsi organ tersebut. Contoh, kanser paru-paru boleh menyebabkan batuk berterusan, batuk berdarah dan sesak nafas. Kanser esofagus boleh menyebabkan kesukaran untuk menelan makanan dan muntah berpanjangan selepas makan. Kanser usus pula boleh menyebabkan kesakitan di abdomen, usus tersumbat atau pendarahan. Tanda-tanda lain yang tidak spesifik kepada penyakit kanser ialah seperti penurunan berat badan secara mendadak tanpa diketahui sebabnya, demam berulang-ulang, mudah letih, demam dan sebagainya.

 

Cegah sebelum parah!

  1. Tabiat – Kajian di Northwestern University Feinberg School of Medicine mengesyorkan 7 langkah pencegahan kanser, sama seperti langkah-langkah pencegahan penyakit jantung. Langkah-langkah tersebut ialah :
  • selalu bersenam
  • aktif secara fizikal
  • pengambilan pemakanan yang seimbang dan sihat
  • mengawal kadar kolesterol
  • mengawal penyakit darah tinggi
  • mengawal kandungan gula dalam darah
  • tinggalkan tabiat merokok
  1. Diet – Beberapa kajian telah mengaitkan obesiti dan pengambilan alkohol dengan peningkatan kadar kanser. Kajian lain pula menunjukkan tahap pengambilan daging merah yang tinggi boleh meningkatkan kemungkinan berlakunya kanser payudara, usus dan pankreas. Makanan yang disyorkan bagi mengurangkan risiko kanser pula ialah seperti makanan kaya serat (sayur-sayuran dan buah-buahan), gandum, ikan dan kurangkan pengambilan daging merah yang telah diproses dan lemak haiwan.

  2. Vaksin – Beberapa jenis vaksin digunakan untuk mencegah kanser. Contohnya vaksin Human Papillomavirus (HPV) bagi mencegah kanser pangkal rahim dan vaksin Hepatitis B bagi mencegah kanser hati.

  3. Saringan awal – Saringan dan pemeriksaan awal digunakan untuk mengesan kehadiran sel kanser walaupun belum berlaku sebarang tanda atau simptom. Contoh prosedur saringan ini ialah pemeriksaan mammogram bagi pengesan kanser payudara dan pap smear untuk kanser pangkal rahim. Beberapa ujian darah juga (tumour markers) boleh digunakan untuk mengesan beberapa jenis kanser seperti kanser prostat, usus, pankreas dan payudara.

sambungan (Kanser – Rawatan)

Oleh Pakar (Dr Husin Marijan – Consultant General Surgeon) – Majalah Rapi February 2015
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s